PEKAN: Bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih setia bersama parti itu dan tidak terbabit dalam cadangan penubuhan parti baru dikenali sebagai Parti Reformasi Bersatu Negara yang tersebar di media sosial beberapa hari lalu.
Menteri Luar Negeri itu tidak terkejut dengan bermacam-macam dakwaan beliau akan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak terkejut (kerana) sebelum ini (pernah) dikatakan nak wujudkan parti baru dengan (bekas timbalan presiden PKR) Mohamed Azmin Ali…itu merupakan fitnah nak melaga-lagakan pemimpin kita.
“Saya rasa ini bersandarkan kepada niat jahat, (jadi) tak perlulah kita jawab banyak sangat kerana itulah yang mereka hendakkan kita layan isu-isu ini supaya berterusan di dalam media sosial,” katanya selepas melawat beberapa perkampungan Orang Asli di Kampung Gumum, Chini semalam.
Lawatan Hishammuddin ke perkampungan Orang Asli itu bagi membantu kempen calon BN, Mohd Sharim Md Zain yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang akan mengadakan pengundian Sabtu ini.
Dakwaan penaja parti baru itu adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Parti Reformasi Bersatu Negara, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ketua umum, Datuk Seri Hishammuddin sebagai presiden dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan presiden.
Semalam, Ismail Sabri yang merupakan naib presiden UMNO menafikan menyertai atau terlibat dengan cadangan penubuhan parti baru itu.
BACA:
Hishammuddin juga tidak menolak kemungkinan isu penubuhan parti itu direka pihak yang mahu menimbulkan persepsi negatif ada masalah dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Ini menunjukkan betapa terdesaknya mereka pada apa yang telah kita (kerajaan PN) lakukan, baru 100 hari saja pimpin negara.
“Kalau ini menunjukkan mereka bimbang dan gunakan strategi sebegitu rupa, bagi saya itu bagus dan ini menunjukkan kita berada atas landasan baik.”
Sementara itu, Hishammuddin menjangkakan pengundi dari luar akan mengambil kesempatan pulang mengundi selepas mengambil kira faktor boleh merentas negeri dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Hasil maklum balas jentera BN menerusi lawatan rumah ke rumah di sini, ramai yang memberitahu anak-anak akan mengambil kesempatan balik mengundi.”
Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal di DUN Chini. Daripada jumlah itu, kira-kira 9,000 ialah pengundi di luar kawasan DUN.