📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Kami masih sokong Anwar tapi tunggu 6 bulan, kata DAP & Amanah


KUALA LUMPUR: DAP dan Amanah mendesak sekutu-sekutu dalam gabungan yang disebut "Pakatan Plus" untuk mencapai kompromi hari ini, dengan berkata mereka wajib untuk mendapatkan kembali kerajaan dari Perikatan Nasional.

Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berusaha untuk mendamaikan kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kumpulan Bersatu dan Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Pakatan itu terbahagi kepada dua pihak, dengan satu menyokong Dr Mahathir dan PKR yang berkeras dengan Anwar sebagai satu-satunya pilihan untuk menjadi perdana menteri.

"Berdasarkan senario politik semasa, satu-satunya pilihan kejayaan yang realistik adalah menggabungkan kekuatan lima parti PKR, Amanah dan DAP dalam PH serta Warisan dan Bersatu (blok Mahathir).

"Perjalanan politik ini memakan masa 22 tahun; kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Datuk Seri Anwar dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. Peralihan enam bulan hendaklah didokumentasikan secara bertulis, ditandatangani oleh semua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka.

"Walaupun Tun Dr Mahathir, Warisan dan PKR tidak dapat sepakat satu sama lain, semua pihak dalam kelompok PH, Warisan dan Tun Dr Mahathir mesti berusaha mencari jalan bersama untuk menuntut kembalikan mandat rakyat pada pilihan raya 2018," kata mereka.

Kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa ini adalah perjuangan suci untuk menegakkan demokrasi serta membetulkan dakwaan ketidakadilan dan korupsi pentadbiran Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak.

Mereka juga "mengucapkan terima kasih" kepada PKR atas sikapnya menolak pilihan untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dengan Anwar sebagai timbalannya untuk kali kedua.

Sebelum ini, Dr Mahathir dan sekutu Warisannya menolak cadangan untuk Anwar menjadi calon perdana menteri dengan anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri.

Mohamad dan Guan Eng menambah bahawa kedua-dua parti mereka telah bekerja keras selama tiga bulan terakhir untuk mencari "persamaan" antara kelima-lima pihak tetapi tanpa kejayaan.

"Kami berharap agar PKR dan Tun bersama-sama dengan Warisan tidak akan menjauhkan diri tetapi terus bergerak lebih dekat bersama.

"Melihat masing-masing sebagai musuh dan bukan rakan sekutu tidak akan membantu perjuangan rakyat bahkan hanya membantu mereka yang telah menumbangkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat, dengan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat. Hanya apabila kita dapat bersetuju, kita akan sama-sama dapat memastikan Pakatan Harapan dapat menuntut semula kerajaan milik rakyat ini,” kata mereka.

Kedua-duanya juga menekankan bahawa tidak patut ada sebarang urusan dengan watak-watak utama (bekas pemimpin PH) yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan PH dan membolehkan kerajaan PN tanpa mandat berkuasa.

Menyentuh kemungkinan pilihan raya awal, kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu berkata bahawa mereka sudah menyiapkan jentera pilihan raya masing-masing untuk kempen menentang PN.