📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

PRK Chini: Tengku Zainul Hisham dipecat dari Bersatu


KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Pekan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin telah dipecat oleh parti itu kerana bertanding pada pilihan raya kecil Chini sebagai calon bebas.

Pemecatan beliau dari parti itu telah diumumkan oleh pihak setiausaha kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dalam surat yang dilihat oleh pihak Suara Kini.

"Pada 20 Jun 2020 (Sabtu), YBhg. Dato' didapati telah mengemukakan borang penamaan calon dalam Pilihanraya Kecil N. 23 Chini sebagai seorang calon bebas tanpa kebenaran dan/atau persetujuan Bersatu.

"Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, keanggotaan YBhg. dalam Bersatu adalah terhenti secara serta merta," kata Suhaimi dalam surat itu.

Ahli perniagaan yang berusia 64 tahun itu, akan menggunakan simbol "rumah" dan manifesto "Menjadi Suara Rakyat Chini", menerangkan keputusan untuk bertanding setelah mengambil kira maklum balas dari penduduk Chini.

Pilihan raya kecil Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil dan 30 Jun sebagai hari pengundian awal.

Pada pilihan raya ke-14, Abu Bakar yang mewakili Barisan Nasional memenangi kerusi DUN Chini dengan 4,622 undi setelah memperoleh 10,027 undi sementara Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari PAS hanya memperoleh 5,405 undi, dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR hanya memperoleh 1,065 undi.