📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Datuk Yusof Haslam, ketua PPIM, antara yang dilantik ke panel rundingan SPRM


KUALA LUMPUR: Tujuh individu dilantik sebagai penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala 12 lagi menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) serta 5 yang lain menyertai Panel Penilaian Operasi (PPO) agensi anti-rasuah itu.

“Semua 24 ahli yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM,” kata agensi anti-rasuah itu dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dipengerusikan bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bekas pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee serta Prof. Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Katanya, ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mulai 21 Mei lalu sehingga 20 Mei 2023 atas nasihat perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009.

PPPR pula dipengerusikan bekas ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah dengan antara ahli panelnya ialah ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya serta Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.

SPRM berkata, tempoh pelantikan PPPR berkuat kuasa 1 Jun lalu hingga 31 Mei 2022.

PPO pula dipengerusikan bekas timbalan ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham yang turut dianggotai bekas setiausaha kerajaan negeri Kelantan, Datuk Haji Mohd Faudzi Che Mamat dan bekas timbalan ketua pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam, Datuk Azimah Abdul Hamid.