📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Menteri dalam negeri tepis laporan Al-Jazeera tuduh Malaysia rasis tangani PATI


KLANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menepis laporan media asing, Al-Jazeera yang menuduh Malaysia bersikap perkauman ketika menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa wabak Covid-19.

"Saya tak nak ambil hal tentang masalah media orang luar," katanya pada sidang media di sini.

"Jadi, kalau pun media asing yang mengatakan kita begitu garang dan tegas, saya rasa itulah yang kehendak rakyat.

"Rakyat memerlukan kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

"Jadi, kita jangan ambil hal tentang media asing yang suka memutarbelitkan cerita yang bukan-bukan," jelasnya.

Tindakan tegas kerajaan baru-baru ini terhadap PATI dan jangkitan Covid-19 di depot tahanan imigresen mendapat liputan luas di media tempatan dan antarabangsa.

Pada Jumaat, saluran berita Al-Jazeera menyiarkan episod dalam program 101 Timur yang bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown". Video berdurasi 25 minit itu menuduh kerajaan menggunakan alasan kesihatan dan keselamatan awam untuk menangkap mereka yang tidak mempunyai dokumen.

Laporan itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang menolak dakwaan perkauman kerajaan dalam menangani PATI semasa wabak Covid-19.

Hamzah turut menjelaskan bahawa kerajaan mengalu-alukan pekerja asing tetapi mereka yang bekerja secara haram wajar dikenakan hukuman tegas.

"Kerajaan ini lebih memihak kepada kehendak rakyat.

"Rakyat nak melihat supaya semua orang yang duduk dalam negara ini mengikut undang-undang yang ada dalam negara.

"Kalau mereka mahu bekerja di sini, biarlah mereka mempunyai permit dan juga dokumen yang sah, bukan kita tak mahu bekerja dengan kita," tambahnya lagi.

Beliau juga berkata bahawa setiap tindakan yang dilakukan adalah menurut SOP.