PUTRAJAYA: Kerajaan memandang serius sebarang pengubahsuaian pada jata persekutuan Malaysia tanpa kebenaran, kata Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Penyalahgunaan dan pengubahsuaian jata persekutuan adalah satu kesalahan di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Seksyen 3 (1) (a) menyatakan bahawa seseorang tidak boleh mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

"Mana-mana pihak yang melanggar larangan penggunaan jata persekutuan boleh didakwa dan dikenakan hukuman di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963," menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Pemuda Umno telah meminta tindakan terhadap pengarang, editor dan penerbit sebuah buku mengenai politik Malaysia di mana penghias muka hadapan buku itu memaparkan lukisan mirip jata negara menunjukkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata "Bersekutu Bertambah Mutu".

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata buku itu yang bertajuk "Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia", harus diharamkan.

"Tindakan sedemikian jelas menunjukkan pengarang buku itu merendahkan martabat jata negara dan telah menghina simbol kedaulatan negara," kata Asyraf.