📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Sarawak akan teruskan pembinaan projek jambatan dibatalkan PH dulu - Abang Jo

foto Bernama

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan kesemua projek jambatan yang dibatalkan oleh kerajaan persekutuan PH sebelum ini.

"Kita ada dana. Kita akan teruskan pembinaan jambatan-jambatan ini menggunakan wang kita sendiri.

"Kita juga tidak akan meminta kerajaan persekutuan mengkaji semula projek-projek ini kerana ia hanya akan melambatkan ia disiapkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Sungai Maong ke Segedup di sini hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga tidak akan meminta kerajaan persekutuan membayar balik kos ditanggung oleh kerajaan negeri untuk menyiapkan projek-projek pembinaan dan penyiapan projek berkenaan.

"Mungkin kita boleh cadangkan kerajaan persekutuan memberi lebih banyak peruntukan bagi projek-projek infrastruktur lain pada masa akan datang," katanya.

Pada 2018, kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) telah menangguh serta membatalkan pembinaan beberapa jambatan yang telahpun diluluskan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN).

Jambatan berkenaan ialah jambatan Batang Rambungan, Jambatan Kuala Kemena, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Batang Krian dan Jambatan Batang Paloh.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata pembinaan Jalan Sungai Maong ke Segedup akan membuka kawasan pembangunan baharu khususnya kawasan perumahan mampu milik bagi penduduk sekitar.

"Fasa kedua selepas siapnya projek jalan ini nanti, ialah pembangunan kawasan perumahan mampu milik seperti di Sungai Midin (Kuching) dan Kemuyang, Sibu.

"Ia akan menyediakan kemudahan perumahan kepada generasi kedua penduduk Kampung Segedup termasuk Kampung Kudei Iban yang begitu padat penduduknya ketika ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata projek pembinaan dan penyiapan Jalan Sungai Maong ke Segedup itu antara projek inisiatif Kerajaan Negeri di bahagian Kuching.

Beliau berkata objektif utama projek berkenaan ialah membina jalan baharu berstandard U3 JKR (Jabatan Kerja Raya) menghubungkan Kampung Sungai Maong dan Kampung Segedup serta menaik taraf jalan kampung sedia ada kira-kira 600 meter. 

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata laluan itu akan bermula dari bulatan sedia ada di Jalan Datuk Temenggung Tan Meng Chong. 

Jalan tunggal berkenaan kira-kira sepanjang 3.6 km dan terdiri daripada dua jambatan konkrit dicadangkan menyeberangi Sungai Maong (80 meter) dan Sungai Pedada (54 meter).

Sebagai tambahan, kampung Sungai Maong akan dihubungkan dengan jalan baharu berkenaan melalui jalan pintas sejauh 69 meter.

Projek berkenaan dijangka siap pada Januari 2022 dan penyiapan jalan berkenaan ia akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan trafik antara Matang dan Batu Kawa.

"Kita berharap jalan ini akan menyediakan perhubungan yang lebih lancar, selamat dan pantas kepada penduduk yang tinggal di sekitar Sungai Maong, Segedup dan Satok.

"Jalan ini juga dipecayai akan memberi pengalaman pemanduan yang lebih baik selain memberi manfaat sosio ekonomi serta merta dan jangka panjang kepada penduduk setempat serta pembangunan secara keseluruhannya," ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari turut menggesa PH dan sekutunya, berkata bahawa sementara kerajaan Sarawak sibuk dengan projek pembangunan untuk kepentingan rakyat, mereka saling bertengkar mengenai siapa yang harus menjadi perdana menteri.

"Bagi saya, jawatan perdana menteri adalah tidak berapa penting. Apa yang kita perlukan adalah kerajaan yang stabil di peringkat persekutuan. Virus Covid-19 masih ada dan ekonomi negara telah terjejas oleh wabak itu, ”katanya.

Beliau berkata negara memerlukan kepimpinan yang fokus untuk menguruskan isu-isu ini, dan bukan orang yang "sibuk" memperjuangkan siapa yang harus menjadi perdana menteri.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kanan (Kluster Infrastrukur), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi dan Pengarah JKR, Datu Ir Zuraimi Sabki.