📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

COVID-19: Satu kematian di Sarawak


KUCHING: Sarawak merekodkan satu lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah mangsa terkorban akibat wabak itu di negeri itu seramai 18 orang.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata mangsa adalah seorang lelaki berusia 72 tahun.

Kes kematian itu juga merupakan antara dua kes baru dilaporkan di negeri itu.

Beliau berkata, mangsa merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang berkemungkinan mendapat jangkitan tempatan kerana tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

“Beliau telah mendapatkan rawatan awal di Borneo Medical Centre (BMC) Kuching pada 9 Julai kerana mengalami demam sejak 7 Julai.

“Beliau terah dirujuk di Hospital Umum Sarawak dan dimasukkan di wad isolasi.

"Ujian makmal RT-PCR COVID-19 mendapati beliau disahkan positif pada 10 Julai.

Menurut Uggah, keadaan mangsa bertambah teruk dan telah disahkan meninggal dunia pada hari yang sama, sambil menjelaskan bahawa punca kematian adalah kegagalan organ akibat radang paru-paru dan COVID-19.

Sementara itu, kes baru yang kedua merupakan kes import, melibatkan seorang lelaki tempatan yang baru balik dari United Kingdom.

Jelas Uggah, pesakit pada awalnya disahkan negatif COVID-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA pada 9 Julai. Namun, setibanya beliau di Kuching untuk dikuarantin, ujian saringan telah dijalankan dan mendapati beliau positif COVID-19.

Pesakit terus dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.