📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

AS henti ujian ubat anti-malaria untuk rawat pesakit Covid-19


WASHINGTON: Institut Kesihatan Amerika Syarikat (NIH) menghentikan ujian klinikal untuk menilai keselamatan dan keberkesanan ubat anti-malaria hydroxychloroquine bagi merawat pesakit Covid-19.

NIH dalam satu kenyataan berkata, kajian itu mendapati hydroxychloroquine, yang disyorkan Presiden Donald Trump, tidak membawa sebarang kebaikan kepada pesakit, walaupun ia tidak memudaratkan.

Awal minggu ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, ujian hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19 di pelbagai negara dihentikan selepas kajian dan data baru menunjukkan ia tidak sebarang kelebihan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) membatalkan kebenaran penggunaan kecemasan untuk hydroxychloroquine bagi merawat pesakit Covid-19 pada Isnin lalu.

Trump mempromosikan ubat itu sebagai rawatan berpotensi, dengan berkata pada Mac lalu ia boleh menjadi “satu daripada pengubah keadaan terbesar dalam sejarah perubatan” apabila menggunakannya dengan antibiotik azithromycin.

Bulan lalu, Trump dalam satu pengumuman mengejut berkata, beliau sedang mengambil hydroxychloroquine sebagai langkah pencegahan selepas 2 pembantu White House disahkan positif Covid-19.

NIH mengumumkan ujian ke atas hydroxychloroquine, yang digunakan untuk merawat malaria serta gejala reumatoid seperti artritis pada April lalu.