KUALA LUMPUR: Biarpun banyak kelonggaran diumumkan kerajaan namun tidak bermakna negara kini bebas COVID-19.
Sebaliknya, orang ramai masih mempunyai tanggungjawab memerangi pandemik itu dengan mempertingkatkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Selepas panggung wayang boleh beroperasi, terbaharu kerajaan mengumumkan kebenaran operasi pusat hiburan keluarga termasuk arked permainan dan pusat karaoke bermula Rabu.
Sebelum ini, mereka yang minat menyanyi hanya menggunakan aplikasi 'Smule' atau set karaoke di rumah sepanjang PKP, maka kelonggaran yang diberikan itu pastinya amat ditunggu.
Bukan sahaja dapat menyanyi dan menonton wayang, kerajaan turut membenarkan operasi arked permainan, taman funfair indoor, hiburan pendidikan, gim permainan kanak-kanak dan hiburan permainan berasaskan peralatan mesin.
Selain itu, liga bola sepak tempatan juga akan kembali beraksi walaupun tanpa penonton, orang ramai masih boleh menyaksikan menerusi televisyen.
Justeru, orang ramai perlu lebih prihatin ketika berada di tempat awam dan seandainya ada ahli keluarga mempunyai simptom seperti batuk dan selesema, seharusnya kekal berada di rumah bagi mengelakkan jangkitan terutama kepada kanak-kanak.
Namun, orang ramai perlu beringat, kepatuhan terhadap SOP serta kawalan kendiri amat dituntut kerana misi untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 di negara ini belum selesai.
Meskipun penularan COVID-19 di negara ini masih rendah, namun semalam negara kembali mencatat kes penularan tempatan selepas dua hari sifar iaitu lima kes membabitkan tiga kes dalam kalangan warganegara manakala dua kes bukan warganegara.
Jumlah kes baharu juga kembali kepada dua angka iaitu 13 kes.
-- BERNAMA