📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Pelantikan Azhar di tangan ahli parlimen - Annuar Musa


KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Azhar mestilah mendapat sokongan yang cukup daripada ahli-ahli Parlimen bagi membolehkan beliau menduduki kerusi Speakar Dewan Rakyat.

Jelasnya, itu hanya perkara biasa.

Untuk beliau dilantik, Azhar perlu melepaskan semua jawatan yang disandang ketika ini termasuk jawatan dalam parti politik atau badan-badan lain.

“Saya rasa bolehlah berspekulasi sehingga perkara itu disahkan.

“Bagi saya seseorang yang hendak dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat seharusnya melepaskan semua jawatan termasuk jawatan dalam parti politik dan jawatan dalam badan-badan yang lain.

“Ia seiring dengan tanggungjawab yang bersesuaian dengan status dan kedudukan seorang Yang Dipertua Dewan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Katanya, pelantikan Azhar ke jawatan berkenaan sangat wajar kerana beliau telah memberikan perkhidmatan yang baik dan cemerlang ketika menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, apa yang penting, pelantikan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dinilai melalui kriteria-kriteria tertentu dan semua itu pasti ada pada diri Azhar sebelum keputusan melantiknya dibuat.

Dalam pada itu, Annuar menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa cadangan pelantikan Azhar ada mempunyai kaitan dengan abangnya, Tan Sri Idrus Harun yang dilantik Peguam Negara pada Mac lalu.

Ujarnya, adalah tidak adil untuk mengaitkan pelantikan Azhar dengan perkara itu kerana beliau sendiri dilantik sebagai Pengerusi SPR ketika berada dalam pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Saya rasa tidak adil kalau nak kaitkan abang dia sebagai AG (Peguam Negara)..Art Harun (Azhar) dilantik SPR sebelum pun AG dilantik dan dia telah pun menunjukkan  khidmat yang baik dan cemerlang di SPR. Tidak ada perkara yang luar biasa,” ujarnya.