PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan bahawa pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun, telah meletak jawatan 29 Jun lalu.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan SPR, peletakan jawatan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun.
"Selaras dengan Perkara 11 (7) Perlembagaan Persekutuan, Prof Dr Azmin Sharom, selaku timbalan Pengerusi SPR akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi SPR sehingga pelantikan pengerusi SPR yang baharu,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, SPR menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Azhar di atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan tersebut.
Peletakan jawatan itu dikatakan bahawa Azhar telah dicalonkan untuk memegang jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pernah menyifatkan Azhar wajar menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat sekiranya beliau dilantik memegang jawatan itu.
Katanya, apa yang penting, pelantikan jawatan itu dinilai melalui kriteria-kriteria tertentu dan semua itu pasti ada pada diri Azhar sebelum keputusan melantiknya dibuat.
"Beliau telah menunjukkan khidmat yang baik dan cemerlang ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," jelas Annuar.
Selain itu, katanya, tidak wajar pencalonan Azhar sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dikaitkan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang juga abang kepada Pengerusi SPR itu.
"Saya rasa tak adil kaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya sebagai Peguam Negara. Beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR sebelum lantikan Peguam Negara dan menunjukkan khidmat baik serta cemerlang di SPR.
Turut menyokong cadangan pelantikan Azhar sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat ialah Exco Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Menurutnya, cadangan itu disifatkan sebagai satu norma baharu yang perlu diterima sekiranya ia adalah benar.
Idris, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, berkata, cadangan itu dilihat tepat kerana jawatan Pengerusi SPR sepatutnya adalah neutral dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
“Pengerusi SPR sepatutnya individu bersikap neutral yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik cuma jika dalam kaedah peruntukan terpaksa bergantung kepada keputusan kerajaan," katanya.