PETALING JAYA: Najib Razak membalas kenyataan Yeo Bee Yin selepas bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu berkata Umno tidak patut menuntut jasa atas pemberian diskaun kepada pengguna elektrik.
Semalam, Yeo ketika mencadangkan pengguna diberikan rebat daripada penjimatan kos bahan api, berkata ia boleh dibiayai dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional memiliki dana untuk berbuat demikian hasil Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) dan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.
Yeo berkata, ketika beliau menjadi menteri, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan dana KWIE untuk digunakan pada masa mencabar menampung beban rakyat dan menstabilkan tarif elektrik.
Bagaimanapun, Najib berkata, dana KWIE ditubuhkan pada Januari 2016, manakala mekanisme ICPT dan IBR diperkenalkan ketika beliau menjadi perdana menteri.
Bekas perdana menteri itu berkata, soalan yang perlu ditanya ialah kenapa dana KWIE meningkat dan dari mana datangnya wang berkenaan.
“Ianya kerana tarif elektrik tetap tinggi selepas PH menaikkan kadar beberapa kali selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), walaupun kos bahan api menjunam ke paras paling rendah sejak 10 tahun yang lalu.
“Sebab itu wang dalam KWIE naik,” tulisnya di Facebook hari ini sambil menambah pemain industri pembuatan turut tertanya-tanya mengenainya.
Najib berkata, Yeo dan PH perlu dipersoalkan kenapa mereka tidak pernah menurunkan tarif elektrik selepas PRU14 walaupun kos tenaga mengalami penurunan mendadak.
Kenyataan antara Najib dan Yeo menyusul pengumuman kerajaan yang 4 juta pengguna domestik dengan bil bulanan di bawah RM77 atau tidak melebihi 300kWj akan menikmati bekalan percuma selama 3 bulan mulai April lalu.
Seramai 3.6 juta pengguna yang menggunakan lebih 300kWj elektrik pula akan mendapat potongan RM77 sebulan dalam bil mereka mulai April hingga bulan ini.
Ia sebahagian daripada Bantuan Prihatin Elektrik tambahan yang mula dilaksanakan sejak 1 April lalu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dan dibiayai dana KWIE.
Semalam, Najib menggesa kerajaan menurunkan tarif elektrik susulan kejatuhan harga arang batu dan minyak. - FMT