📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

PH gesa PN hentikan intimidasi selepas siri siasatan polis


KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menghentikan segala bentuk intimidasi terhadap pembangkang.

Hal ini berhubung siri penyiasatan polis baru-baru ini terhadap ahli parlimen pembangkang, kerana didakwa perbezaan pendapat politik, sebagai bentuk intimidasi daripada kerajaan.

"Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengambil maklum siri tindakan di mana Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk dari Pakatan Harapan telah dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disoal siasat dan ada kalanya tindakan-tindakan ini bersekali laporan-laporan media yang menimbulkan persepsi tertentu terhadap individu-individu tersebut.

"Majlis Setiausaha berpandangan bahawa tindakan-tindakan ini adalah satu bentuk intimidasi terhadap musuh politik. Kami mengecam keras tindakan-tindakan intimidasi ini,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan.

“Pihak Perikatan Nasional seharusnya lebih matang dan terbuka dalam menangani pendirian politik yang berbeza dari yang dipegang oleh Perikatan Nasional itu sendiri. Tindakan-tindakan intimidasi seperti itu hanya akan mewujudkan persepsi negatif terhadap politik dan demokrasi Malaysia di mata dunia,” tambahnya.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan setiausaha organisasi DAP, Anthony Loke.

"Demokrasi di Malaysia harus dipertahan dan diselamatkan dari pihak yang ingin merosakkan keadaan demi kepentingan peribadi dan kelompok politik mereka,” katanya.

Minggu lalu, polis berkata pihaknya sedang menyiasat ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kerana didakwa menerbitkan komen hasutan dan menyakitkan hati orang lain di Facebook pada bulan Mac, yang dikatakan oleh ahli Parlimen bahawa itu adalah petikan palsu yang diberikan kepadanya.

Beberapa hari kemudian, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bahawa beliau telah dipanggil oleh polis untuk hadir di Bukit Aman untuk disoal siasat berhubung wawancara yang disiarkan di Al-Jazeera, juga pada bulan Mac.

Bulan lalu, polis memanggil Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar, berikutan kenyataannya yang didakwa dengan unsur hasutan dan didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong selepas sidang parlimen pada 18 Mei lalu.

Sebagai tindak balas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata bahawa keputusan polis untuk menyoal beberapa pemimpin politik bukanlah hasil tekanan dari mana-mana kumpulan atau parti politik.

Menurut Hamid, keputusan untuk memanggil ahli politik ke Bukit Aman bukanlah untuk menangkap atau menyeksa mereka, tetapi untuk memberi mereka ruang dan peluang untuk menjelaskan kisah mereka mengenai laporan yang dibuat terhadap mereka.