KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa kerajaan Perikatan Nasional supaya membubarkan Parlimen berikutan kedudukan politik Malaysia yang dikatakan “sangat tidak stabil”. Beliau turut menyifatkan politik negara sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak kemerdekaan.
Beliau berkata keadaan sekarang sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang yang kritikal, termasuklah membentangkan belanjawan, sedangkan negara menghadapi kemelesetan ekonomi.
Beliau juga menegaskan kerajaan supaya membubarkan Parlimen “tanpa berlengah” bagi memastikan kerajaan yang akan memerintah nanti mempunyai mandat rakyat yang diyakini.
“Segala usaha untuk memulihkan ekonomi, mencipta pekerjaan, dan melonjakkan persaingan tidak akan berlaku tanpa kerajaan yang stabil dan Parlimen yang boleh berperanan melakukan semak dan imbang.
“Negara tidak boleh terus menerus diheret dengan debaran ketidaktentuan serta kemungkinan pertukaran kerajaan selang beberapa bulan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
PN merupakan gabungan politik yang baru ditubuhkan setelah kerajaan PH tumbang di bawah pimpinan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Februari lepas. Ini menyaksikan pelantikan presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kerajaan yang baru oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada 17 Mei, PPBM, Barisan Nasional (BN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman bagi mengesahkan sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Tambah Mohamad, hanya kerajaan yang mempunyai mandat dan majoriti yang selesa di Parlimen dapat berfungsi dengan baik dan menumpukan segala fokus kepada memulihkan Malaysia dari cabaran besar yang bersifat “unprecedented”.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia ialah sebuah negara demokrasi berparlimen.
“Kuasa sebenar ialah pada rakyat dan bukan pada sesiapa yang lain. Apatah lagi pada blok-blok yang dibentuk sesedap rasa mengikut keselesaan dan kemahuan ahli politik.
“Kembalikanlah kuasa tersebut kepada rakyat dan biarlah mereka yang menentukan jalan kehadapan.” jelasnya.