KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk hanya bekerjasama dengan Amanah dan DAP serta tidak akan lagi menjadi anggota Pakatan Harapan (PH) Plus, lapor Sin Chew Daily.
Keputusan itu dibuat setelah presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.
Dr Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi mengulas apakah beliau akan bekerjasama dengan Anwar setelah PKR dengan tegas menolak cadangan untuk menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
"Saya tidak lagi akan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim kerana beliau tidak mahu bekerjasama dengan saya. Saya perlu mencari jalan lain untuk menjadi Perdana Menteri.
"Mungkin ada cara lain," kata Dr Mahathir dalam temubual dengan Sin Chew Daily pada Selasa.
Pencalonan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sekiranya PH Plus berjaya membentuk kerajaan sekali lagi disokong oleh Parti Warisan Sabah dan Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.
Dr Mahathir berkata bahawa beliau akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah kerana kedua-dua parti telah menyedari perlunya memiliki parti yang berasaskan Melayu.
Beliau tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan PH tetapi akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
"Mereka telah lama menjadi parti pembangkang. Mereka cuba menang pada tahun 2008 dan 2013 sebelum saya bergabung dengan mereka tetapi mereka kalah dan tidak dapat menang. Jadi, pada PRU14 saya bergabung dengan mereka.
"Mereka tahu mereka memerlukan undi orang Melayu untuk menang dan mereka fikir saya boleh membawa undi orang Melayu kerana parti utama adalah parti orang Melayu dan selebihnya adalah parti berbilang kaum. Orang Melayu tidak akan menyokong parti berbilang kaum," katanya.
PH sedang dalam kemelut berikutan keputusan PKR mencalonkan Anwar sebagai calon perdana menteri manakala DAP dan Amanah lebih cenderung menyokong Dr Mahathir.
Alasan yang diberikan oleh DAP dan Amanah adalah kerana Dr Mahathir dapat menarik sokongan ahli parlimen lain, sebaliknya Anwar gagal memperoleh sokongan ahli parlimen walaupun diberi banyak masa.