📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Saya tak pernah mungkir janji, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 95, kini mengorak langkah untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga sekiranya mereka berjaya mengambil alih kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, hal ini mengundang perselisihan faham dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), lebih-lebih lagi untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sejak dua hari lalu, Mahathir ada mencadangkan agar beliau diberi tempoh memegang jawatan perdana menteri selama enam hingga 12 bulan sekiranya mereka berjaya kembali ke Putrajaya berdasarkan pelbagai kenyataan terbuka oleh pemimpin PH.

Walau bagaimanapun, PH ragu-ragu terhadap Mahathir untuk melepaskan jawatan itu mengikut tempoh yang ditetapkan, sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan baru.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini pagi ini, Mahathir memberi jaminan bahawa beliau sentiasa menunaikan janjinya.

"Kalau sampai masa, saya janji, saya akan tunaikan janji.

"Boleh semak saya punya kelakuan sejak saya jadi perdana menteri bahkan sebelum itu, saya tak pernah mungkir janji," katanya.

Mahathir mengambil contoh senario pengunduran diri pada tahun 2002 sebagai bukti beliau menepati janji, yang memungkinkan peralihan kuasa yang lancar setelah 22 tahun menerajui pentadbiran.

"Pada masa itu, Kit Siang berkata saya tak mungkin letak jawatan. Ini semua sandiwara. Tapi seperti mana yang kita tahu, sampai masa yang cukup, saya letak jawatan. Saya tak pernah mungkir janji. Tunjuk di mana saya mungkir janji?" kata Mahathir.