📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Wajar jika Azhar dilantik YDP Dewan Rakyat, kata Annuar Musa


KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Datuk Azhar Azizan Harun wajar menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat sekiranya beliau dilantik memegang jawatan itu.

Katanya, apa yang penting, pelantikan jawatan itu dinilai melalui kriteria-kriteria tertentu dan semua itu pasti ada pada diri Azhar sebelum keputusan melantiknya dibuat.

"Beliau telah menunjukkan khidmat yang baik dan cemerlang ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," jelas Annuar.

Beliau berkata demikian kerana Azhar mempunyai latar belakang dalam undang-undang selain memenuhi kriteria tertentu diperlukan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Selain itu, katanya, tidak wajar pencalonan Azhar sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat dikaitkan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang juga abang kepada Pengerusi SPR itu.

"Saya rasa tak adil kaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya sebagai Peguam Negara. Beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR sebelum lantikan Peguam Negara dan menunjukkan khidmat baik serta cemerlang di SPR.

"Bagaimanapun, saya rasa semua pihak boleh berspekulasi sehingga perkara ini (lantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat) disahkan. Seseorang yang hendak dilantik ke jawatan ini memang perlu melepaskan semua jawatan, termasuk dalam parti politik atau mana-mana badan lain.

"Beliau harus melaksanakan tanggungjawab bersesuaian dengan status dan kedudukan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

"Proses ini saya anggap biasa tetapi pelantikan akan berlaku ketika dewan bersidang selepas mendapat majoriti mudah daripada Ahli Parlimen," katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Difahamkan, Azhar yang juga dikenali sebagai peguam hak asasi manusia itu sudah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi SPR, semalam, susulan beliau dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah menghantar usul bagi menggantikan Yang di-Pertua Dewan dan timbalannya, Nga Kor Ming, pada 26 Jun lalu, dan dijangka membentangkannya pada persidangan yang dijadual berlangsung 13 Julai ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Pahat merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu.