KUALA LUMPUR: Amanah hari ini membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penangkapan bekas setiausaha politik kepada presidennya Mohamad Sabu, mendakwa pegawai SPRM bersifat keterlaluan ketika melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti itu, dekat sini.
Setiausaha Agung Amanah, Dr Hatta Ramli berkata pegawai SPRM tidak mengemukakan waran terlebih dahulu ketika mereka tiba di Wisma Amanah Negara awal hari ini.
Katanya, pihak SPRM yang melakukan serbuan memberitahu pegawai keselamatan di bangunan itu bahawa waran itu akan diserahkan kepada Mohd Azhar Che Mat Dali, yang ditahan untuk direman.
Azhar, yang ditahan dalam siasatan berkaitan dengan projek pertahanan bernilai RM56 juta, telah direman hingga 13 Julai.
Sebelum ini, pegawai SPRM telah merampas wang tunai dari Azhar bernilai RM71,729 dalam pelbagai mata wang, bersama dengan dokumen yang berkaitan dengan projek itu.
Sementara itu, Hatta turut mempersoalkan keperluan mereman Azhar, mengatakan beliau hanya layak direman sekiranya tidak hadir bila dipanggil atau tidak memberi kerjasama dengan SPRM.
"Amanah menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur," katanya, sambil menambahkan bahawa parti itu yakin Azhar mampu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM.
"Kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan SPRM bermotif politik dan boleh menjejaskan imej SPRM," tambah Hatta.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM.
Dipercayai bahawa siasatan itu akan tertumpu pada tuduhan bahawa suspek telah menerima jutaan ringgit dari sebuah syarikat, sebagai pertukaran kerana telah membantu mempersetujui kontrak pertahanan melalui rundingan secara langsung pada bulan Ogos 2019.