KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dikutuk netizen selepas beliau mendakwa kerajaan memberi tekanan kepada warga media termasuk Al-Jazeera satu tindakan bodoh dan tidak patriotik.
Menurut catatan Twitter Fahmi, media perlu memainkan peranan untuk melaporkan berita dengan bebas selagi ia tidak menerbitkan berita palsu dan tidak sahih.
“Saya kesal dengan tindakan memberi tekanan kepada warga media termasuk yang terkini melibatkan Al-Jazeera.
“Semak imbang ini memerlukan bukan sahaja Kerajaan yang faham fungsi media dalam memantau perjalanan pentadbiran, media yang beretika, tetapi juga rakyat yang mampu menilai maklumat yang disampaikan Kerajaan dan media,” kata Fahmi.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bertindak segera meyakinkan pengamal media bahawa kerajaan Perikatan Nasional bukan anti media dan anti kekebasan bersuara.
Catatan Fahmi itu menerima kritikan hebat ratusan ribu rakyat Malaysia selepas sejam disiarkan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin turut kesal dengan tindakan Fahmi itu.
"Adalah amat tidak wajar bagi seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) membuat kenyataan kononnya kesal dengan tindakan Menteri Kanan Keselamatan yang memberi amaran keras supaya Al Jazeera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan Al-Jazeera yang tular sejak Jumaat lalu itu mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika menangani wabak Covid-19.