📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Hos TV BERNAMA kutuk Al-Jazeera 'Al-Jahiliyah'

Salah seorang hos rancangan "Malaysia Petang Ini", Herleena Pahlavy.

KUALA LUMPUR: Rasa tidak senang kerajaan terhadap laporan Al-Jazeera susulan kontroversi mengenai layanan kerajaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) nampaknya mencapai tahap baru apabila salah seorang hos rancangan bual bicara TV Bernama mengecam saluran satelit global itu, dengan memanggilnya menggunakan istilah Arab yang menghina.

Rancangan "Malaysia Petang Ini" yang disiarkan pada Isnin untuk membincangkan kontroversi itu dihoskan oleh dua orang iaitu Wan Syahrina dan Herleena Pahlavy.

Salah seorang hos, Harleena Pahlavy berkata Al-Jazeera seharusnya menukarkan nama mereka menjadi 'Al-Jahiliyah'.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan jahiliyah berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab, yang bermaksud kebodohan. Dalam agama Islam, istilah ini digunakan untuk menggambarkan perubahan yang dibawa oleh agama dalam corak kehidupan dan pemikiran masyarakat.

"Dan saya kira sebenarnya, Al-Jazeera, atau kalau lepas perkara ini, saya katakan bahawa, Al-Jahiliyah, tidak mempunyai asas ataupun mungkin etika yang kurang. Kalau kita google pun, diorang memang banyak kontroversi dan kritikan,” kata Herleena Pahlavy, pada saat akhir rancangan.

Beliau mengakhiri rancangan itu dengan kenyataan: “Saya Leena Pahlavy. Al Jazeera, you shut up (kamu diam)".

Sepanjang rancangan itu, kedua-dua hos mengulas laporan Al-Jazeera itu yang bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown".

Mereka juga mempersoalkan media asing antarabangsa tersebut yang menyahaktifkan ruangan komen dalam video itu di YouTube, sambil menjelaskan ianya disebabkan oleh ketakutan mereka terhadap kekuatan pengguna internet Malaysia ataupun 'tentera bawang'.

Laporan Al-Jazeera dalam bentuk video itu yang berdurasi 25 minit, yang mengkritik tindakan pihak berkuasa terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak COVID-19, telah menyebabkan siasatan dijalankan di bawah akta hasutan, dan jug pengesanan oleh imigresen untuk memburu seorang warga Bangladesh yang ditemu bual dalam video tersebut.