KUALA LUMPUR: Hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari
Jawi’ bermula hari ini dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi
dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad
al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata usul ini telah dibawa dalam
Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh daripada
semua ahli jemaah menteri.
“Kerajaan
serius memartabatkan tulisan Jawi. Saya menyeru seluruh kementerian, jabatan,
agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan
seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan
negara ini,” katanya.
Beliau
berkata bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan
Jawi bagi urusan rasmi mulai hari ini.
Zulkifli
berkata penggunaan tulisan Jawi juga akan turut diperluas meliputi penyampaian
maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.
Katanya,
tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang
termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Akta
itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan
syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali
dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.
-- BERNAMA