📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

"Laporan Al-Jazeera berniat tidak baik, tuduh Malaysia secara membuta tuli" ‒ Ismail Sabri


PUTRAJAYA: Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata amat tidak wajar laporan media asing, Al-Jazeera yang menuduh Malaysia bersikap rasis menangani pendatang asing tanpa izin (PATI) di dalam negara.

Beliau turut berkata laporan media tersebut seolah berniat tidak baik dan cuba mengelirukan tanpa fakta yang jelas serta menuduh negara secara membuta tuli.

Beliau juga mencabar Al-Jazeera supaya mengemukakan bukti menuduh Malaysia memberikan layanan tidak adil kepada PATI yang ditahan.

Beliau menekankan bahawa setiap individu, sama ada warga asing atau penduduk tempatan, yang telah ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau melanggar undang-undang imigresen akan dilakukan dan dilayan secara adil.

"Pembohongan yang dilakukan oleh Al-Jazeera yang mengatakan bahawa kanak-kanak digari untuk dibawa ke pusat tahanan.

"Ini juga satu pembohongan yang secara terbuka! Saya percaya pemberita ini tidak mempunyai etika langsung ketika melaporkan, seperti yang dilaporkan dalam rencana itu," jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak tidak digari. Malahan, mereka turut diasingkan bersama ibu bapa mereka di tempat-tempat khas pusat depot tahanan.

"Kita boleh tanya Al-Jazeera. Berikan kita nama mana-mana negara di dalam dunia ini yang membenarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalananan ataupun dokumen yang tidak sah boleh bebas di negara mereka.

"Saya cabar Al Jazeera tunjukkan negara mana yang memberikan kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak berdokumen.

"Jawapannya, setahu saya, tidak ada. Tetapi mungkin Al Jazeera mempunyai senarai negara tersebut, silakan.

"Setiap negara mempunyai akta imigresen yang hampir sama iaitu setiap warga asing yang masuk ke dalam negara kita mesti, negara mana-mana sekali, mesti mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya ketika sidang media harian beliau dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata orang asing yang memasuki Malaysia harus memiliki dokumen perjalanan dan walaupun visa perjalanan mereka telah tamat, mereka mesti menunjukkan dokumen tersebut.

Mengenai Malaysia, katanya orang asing dan rakyat Malaysia akan diberi rawatan yang sama dan adil jika mereka positif Covid-19.

Beliau berkata lebih daripada 68,000 pekerja asing dengan dokumen perjalanan telah disaring, dengan lebih dari 2,000 pekerja yang didapati positif Covid-19.

"Mereka telah pun dirawat di hospital. Bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen, kita tidak biarkan mereka dijangkiti dan sakit dan meninggal di depot tahanan.

"Sebanyak 4,924 pekerja asing tanpa izin telah disaring dan 777 daripadanya didapati positif. Kami merawat mereka di tempat khas di MAIPS, Serdang sehingga mereka sembuh dan menghantarnya pulang,” tambahnya.

Ismail Sabri berkata, pendatang asing tanpa izin yang diuji negatif untuk Covid-19 turut tidak akan dibenarkan bergerak bebas di negara ini.

"Tetapi, saya percaya Al Jazeera tidak ingin tahu tentang fakta yang sebenar tetapi atas niat yang kurang baik terhadap Malaysia. Maka, perkara-perkara yang tidak betul telah pun dilaporkan. Menuduh kita rasis dan berbagai-bagai lagi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum kerana memberikan sokongan terhadap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan.

"Saya amat berharap, sebagai sebuah media antarabangsa, mempunyai etika kewartawanan yang tinggi, supaya mereka mohon maaf kepada rakyat Malaysia," katanya.