📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Laporan Al-Jazeera tuduh Malaysia rasis ketika tangani PATI tidak betul ‒ Dr Adham


KUALA LUMPUR: Salah satu media antarabangsa terkenal, Al-Jazeera didakwa menyiarkan laporan tidak betul apabila menuduh Malaysia mengamalkan perkauman (rasis) dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan berhubung perkara itu adalah selaras dengan Akta 342 iaitu langkah bagi menangani jangkitan virus maut tersebut dalam kalangan warga asing.

“Laporan Al-Jazeera bahawa ada berlaku perkauman sebenarnya adalah satu tuduhan yang tidak betul.

“Kita perlu pastikan semua yang dikesan melalui PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dapat kita saring dan kita asingkan. Itu sebenarnya matlamat kita,” katanya.

Menurut Dr Adham lagi, kenyataan salah Al-Jazeera itu perlu diperbetulkan melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan PKP.

Sebelum ini, Al-Jazeera menerusi sebuah segmennya menerbitkan laporan video bertajuk ‘Dipenjara ketika Lockdown Malaysia: Kami menyiasat mengapa pandemik Covid-19 memaksa pekerja asing – tulang belakang ekonomi Malaysia – untuk bersembunyi’.

Menurut laporan video itu, selama bertahun-tahun pekerja asing telah melakukan kerja berbahaya dan kotor untuk Malaysia.

Bagaimanapun, ketika pelaksanaan PKP, pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah terpaksa hidup dalam ketakutan di sini.

Tanpa pekerjaan mereka dipaksa hidup dalam kawasan yang sesak dan ada yang kelaparan dan bergantung kepada bantuan makanan.

Laporan itu turut mendakwa pihak berkuasa memasang dawai berduri di kawasan miskin di Kuala Lumpur dan membuat ujian ke atas warga asing, mengambil cap jari mereka dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.