📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Manifesto 'gemuk' kesilapan besar PH, kata Rafidah


KUALA LUMPUR: Bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa, Tan Sri Rafidah Aziz sekali lagi membidas "Buku Harapan" milik Pakatan Harapan, sambil menjelaskan ia merupakan kesilapan terbesar gabungan itu kerana mempunyai manifesto "gemuk".

Ahli politik veteran itu berkata manifesto tersebut "terlalu banyak" sehingga ada pihak yang tidak dapat memahami isi kandungan manifesto itu.

"Saya tidak pernah membaca manifesto anda. Saya tidak boleh, saya baca pun boleh tertidur," katanya semasa sesi siaran langsung Facebook dengan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika Yeoh, yang juga merupakan ahli Parlimen Segambut, membangkitkan isu bahawa kerajaan Perikatan Nasional sekarang tidak mempunyai manifesto dan bahawa peralihan dari manifesto PH yang "tebal" telah menyukarkan termasuk perkhidmatan awam.

Rafidah berkata semasa beliau masih bersama Barisan Nasional, gabungan itu tidak pernah mempunyai manifesto besar.

Beliau berkata bahawa mereka tahu tiada gunanya memberikan manifesto dengan begitu terperinci sekali kerana tidak ada yang dapat meramalkan masa depan dan menjadikan pandemik COVID-19 sebagai contoh.

“Ambil contoh dalam isu Covid-19, apa yang berlaku ini adalah di luar kawalan kita. Dalam erti kata lain, rangkakan perkara utama sahaja dan dalam tempoh itu kita perbaiki dan ubah. Tetapi anda (PH) lakukannya seperti Quran, kitab Injil, tidak boleh diubah. Jadi ia salah.

“Saya sendiri gelarkan ia sebagai ‘manifesto bodoh’ dan tidak perlu. Sebaliknya, datanglah dengan satu format untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

Rafidah pernah mengkritik manifesto PH pada tahun 2018, dengan menyifatkan ia sebagai "manifesto bodoh" yang telah memaksa mereka untuk menarik keputusan yang baik, seperti menjadikan Mahathir sebagai menteri pendidikan pada permulaan kerajaan PH.

Mahathir pernah menamakan dirinya sebagai menteri pendidikan sebelum menarik balik pelantikan itu dengan alasan manifesto telah menetapkan perdana menteri tidak akan memegang mana-mana jawatan menteri lain secara serentak.