📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

"Minta maaf atau tidak...", kata UMNO Sabah pada Abd Latiff


KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengancam akan menutup rundingannya dengan PPBM di negeri itu sekiranya Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad tidak meminta maaf secara terbuka kerana merendahkan populariti parti itu di Sabah.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, parti itu menolak dakwaan Latiff bahawa kenyataannya disalah tafsirkan.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk menghentikan rundingan dengan PPBM Sabah jika Latiff tidak meminta maaf secara terbuka, khasnya kepada UMNO Sabah," katanya.

"...walaupun ketua PPBM Sabah sebelum ini berkata mereka ingin berunding dengan pihak-pihak yang bersekutu dengan Perikatan Nasional."

Latiff, yang merupakan Ahli Parlimen Mersing, membuat kenyataan itu di sebuah forum, di mana ucapannya dalam video forum itu menjadi tular.

"Orang Sabah, dia tak panggil lompat, dia kata hijrah. Biasa. Daripada Berjaya. USNO pergi PBS, PBS pergi Berjaya, PBS pergi UMNO.

"Sekarang ni UMNO dah tak laku. UMNO, parti di Sabahlah. Itu realiti kerana [rakyat] dah tak yakin. Semua orang, dia dah lompat, dia hijrah, ke Bersatu atau dia berhijrah ke WARISAN," kata Latiff.

Ucapannya itu mencetus kritikan dari pemimpin UMNO yang memintanya meletak jawatan sebagai menteri. Namun, Latiff berkata ianya terpulang kepada perdana menteri mengenai perkara itu.

Beliau juga berkata bahawa beliau sudah meminta maaf atas ucapannya itu.

Namun, Ghazalie berkata kernyataan Latiff telah diucapkan secara terbuka, tidak ditulis dan tidak disalahtafsirkan.

Beliau juga berkata sekiranya UMNO benar-benar mengalami kemerosotan di Sabah, bagaimana Barisan Nasional mampu menang besar dalam pilihan raya kecil Kimanis pada bulan Januari.

"Sekiranya Latiff ingat, seluruh jentera PPBM bekerjasama dengan Warisan dalam usaha untuk menjatuhkan UMNO tetapi kami tetap menang.

"Ini bukti bahawa rakyat Sabah masih bersama UMNO," katanya, sambil menambah bahawa semua calon PPBM yang pernah bertanding dalam pilihan raya kecil baru-baru ini telah kalah.