KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing.
Beliau berkata asrama yang mempunyai kapasiti mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.
“Bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad, setelah mengambil kira penjarakan sosial, pada peringkat awal, hanya sebahagian murid sahaja dapat tinggal di asrama.
“Antara kekangan utama adalah penggunaan katil dua tingkat,” katanya dalam sidang media khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM), di peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja.
Selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah.
Beliau berkata prosedur itu diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.
“Setelah mengambil kira saranan KKM, secara umumnya untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari bermula dari 24 Jun 2020.
“Tempoh untuk kembali ke asrama ini bergantung kepada bilangan murid dan akan ditetapkan oleh pihak sekolah,” katanya.
Mohd Radzi juga berkata aktiviti kokurikulum dan sukan serta perhimpunan masih tidak dibenarkan kerana tumpuan ketika ini hanya kepada pembelajaran dan pengajaran (PdP).
Berkenaan sekolah tahfiz yang tidak didaftar di bawah KPM, Mohd Radzi berkata sekolah terlibat disaran mengikut garis panduan yang dikeluarkan kementerian mengenai pengoperasian sekolah.
Beliau berkata setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan perbincangan mendalam KPM dengan pihak Majlis Keselamatan Negara dan KKM dengan mengambil kira situasi COVID-19 yang bertambah baik di negara ini.
“Apa yang pasti risikonya tetap ada, tetapi apa yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah adalah memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dalam garis panduan dapat dipatuhi dengan baik,” katanya. - BERNAMA