KUALA LUMPUR: Seorang pesara dikenakan hukuman denda RM2,000 kerana didapati menghina dan menyebarkan kenyataan menyinggung perasaan terhadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba empat bulan lalu.
Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu setelah Abdullah Sani Ahmad, 57, mengaku bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Sesyen di sini, 3 Julai lalu.
Dalam penghakimannya, Edwin Paramjothy berkata bahawa tertuduh mesti bertimbang rasa sebelum membuat sebarang catatan di media sosial.
Abdullah Sani, melalui akaun Facebooknya dengan nama Sani Ahmad, telah membuat catatan yang menyinggung perasaan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 11.45 malam, pada 31 Mac.
Catatan tersebut dibaca di ibu pejabat Kementerian Kesihatan pada pukul 8 pagi keesokan harinya.
Kesalahan itu termasuk di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000, atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan; dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Abdullah Sani, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman minimum, dengan alasan beliau menyesal atas tindakannya.
"Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama," katanya.