KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar Pakatan Harapan (PH) dan meletakkan jawatan serta-merta sebagai Penyelaras Parlimen Jasin pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak akan bernaung dan berjuang untuk menobatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesembilan seperti yang diumumkan PH.
"Keseluruhan bangsa Melayu dan umat Islam di negara kita harus tolak Anwar Ibrahim daripada menjadi khalifah utama kita! Jangan sama sekali kita biarkan diri ditipu serta tertipu lagi oleh Anwar Ibrahim!
"Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada presiden dan kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah) yang telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk bertanding di kerusi parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.
"Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan berjumpa dengan presiden parti Amanah untuk menzahirkan keputusan bagi menyerahkan balik kerusi parlimen Jasin seterusnya meletakkan jawatan selaku penyelaras parlimen jasin berkuat-kuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada Isnin, Majlis Presiden PH komited kepada pendirian asal untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri sekiranya mereka kembali berkuasa di Putrajaya.
Majlis Presiden PH turut memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Khairuddin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada presiden serta keseluruhan kepimpinan tertinggi Amanah yang telah meluluskan keahliannya untuk menganggotai parti itu sebelum ini.
"Ketika berjuang, platform Amanah telah meninggalkan pelbagai pengalaman manis kerana parti ini amat berdisiplin, ikhlas sesama sahabat dan keseluruhan pemimpinnya baik-baik belaka.
"Secara jujur dan ikhlas, saya amat menyayangi semua kepimpinan tertinggi Amanah khususnya presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan anggota tertinggi parti ini," ujarnya.
Namun tegasnya, keputusan itu dibuat kerana terpaksa berpegang kepada prinsip sama sekali tidak akan bernaung di bawah kepimpinan PH yang kini dipengerusikan Anwar.
"Kini, saya ingin lihat berapa jauh PH boleh pergi di bawah kepimpinan Anwar. Pada hakikatnya, beliau tidak lagi relevan dalam landskap politik negara.
"Rakyat secara total akan mengetahui secara lebih jelas siapa itu Anwar yang sebenarnya," jelasnya.
Dalam masa yang sama, Khairuddin turut menyeru kepada semua pemimpin PH untuk meninggalkan PH secara beramai-ramai.
"PKR sendiri bermasalah dan berpecah di bawah kepimpinan Anwar. Bagaimana dia hendak memimpin gagasan PH yang jauh lebih besar?
"PH akan hancur di bawah kepimpinan Anwar. Jangan bermimpi PH akan mampu untuk memenangi PRU lagi bagi membentuk kerajaan pusat seperti PRU14.
"Ia hanya akan menjadi bahan sejarah semata-mata dan PH akan terkubur buat selama-lamanya dalam sedikit masa lagi," katanya.
Katanya lagi, PH bukan lagi platform yang sesuai untuk berjuang bagi menyelamatkan negara.
Khairuddin sebelum ini pernah meminta Tun Dr Mahathir tidak membuang masa untuk bersama PH kerana Anwar sendiri tidak pernah menunjukkan keikhlasan dengan bekas perdana menteri itu.