📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

PH komited Anwar calon PM, beri mandat, runding dengan Shafie


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan akan menyokong presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, menurut kenyataan majlis presiden PH hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata PH komited dengan pendirian asalnya untuk menamakan Anwar sebagai perdana menteri, sekiranya mereka kembali berkuasa.

Mereka menambah bahawa majlis presiden juga membincangkan cadangan presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk dicalonkan untuk jawatan itu.

"Majlis presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

"Oleh itu, majlis presiden memberikan mandat penuh kepada YB DS Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB DS Shafie Apdal," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan Anwar dan bekas timbalan presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri sekiranya Shafie menjadi perdana menteri.

Mahathir berkata, pencalonan tersebut telah dipersetujui dalam satu pertemuan tidak rasmi pada 25 Jun yang dihadiri oleh dirinya sendiri, Shafie, Mukhriz, Mohamad Sabu, Lim dan pemimpin parti DAP lain-lain. Manakala, Anwar dan pemimpin PKR tidak hadir pada pertemuan itu.

Bulan lalu, DAP dan Amanah memberitahu PKR untuk kembali ke konsensus PH untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri kesembilan, kerana Anwar dijangka tidak mendapat sokongan majoriti di parlimen.

Kenyataan mereka menimbulkan kekecewaan dalam PKR, sehinggakan seorang pemimpin parti itu dari Selangor mendesak supaya parti menyingkirkan DAP dan Amanah.

Hari ini, ketiga-tiga pemimpin itu juga berkata bahawa sekiranya berlaku pilihan raya, kerajaan negeri yang dipimpin PH harus diteruskan dan tidak dibubarkan.

Mereka berkata bahawa mereka konsisten dengan pendirian bahawa fokus kerajaan persekutuan dan negeri ialah untuk membantu rakyat ketika pasca penularan wabak Covid-19.

Pemimpin parti itu juga berkata bahawa mereka akan menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggugurkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.