📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Polis: Saksi dari Al-Jazeera akan beri keterangan pagi esok

KUALA LUMPUR: Mereka yang terlibat dalam laporan kontroversi Al-Jazeera mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dipanggil ke Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk memberi keterangan pagi esok.

Dalam surat jemputan media yang dikeluarkan hari ini, polis berkata mereka yang mempunyai kaitan dengan dokumentari “Locked Up In Malaysia’s Lockdown” akan dipanggil untuk mendapatkan keterangan

"Mereka dari Al-Jazeera akan diminta untuk hadir," katanya.

Pada 8 Julai, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah menghubungi beberapa individu dan mereka akan dipanggil ke Bukit Aman dan ibu pejabat polis daerah Putrajaya untuk mendapatkan keterangan mereka.

Beliau turut berkata polis juga akan memanggil seorang lelaki Bangladesh, yang dikenali sebagai Md Rayhan Kabir, yang terlibat dalam dokumentari tersebut.

Mior selanjutnya mengesahkan bahawa polis telah merakam kenyataan seorang aktivis sosial berhubung siaran Facebook mengenai dakwaan penganiayaan PATI di depot tahanan imigresen.

Pada 7 Julai, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis akan menyiasat Al-Jazeera kerana fitnah dan penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian, selain hasutan.

Beliau juga berkata wartawan media itu turut dipanggil untuk memberikan keterangan.

Beliau menyifatkan laporan itu, yang mendakwa kerajaan bersikap perkauman dan tidak adil terhadap PATI dalam peperangan Malaysia melawan COVID-19, sebagai tidak berasas dan berat sebelah.

Huzir berkata tidak ada yang akan lari tanpa hukuman kerana cuba mencemarkan imej Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, laporan itu mendakwa bahawa Malaysia mendiskriminasi PATI dan ianya tidak tepat. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meminta Al Jazeera meminta maaf kepada rakyat Malaysia.

-- SUARA KINI