PUTRAJAYA: Sabah tidak berbincang terlebih dahulu dengan kerajaan persekutuan mengenai keputusannya untuk membenarkan pekerja dari China memasuki negeri itu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa di peringkat persekutuan, kerajaan masih menutup pintu kepada pekerja asing, kecuali ekspatriat kategori EP1, yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kita masih lagi menganggap negara China sebagai kawasan yang masih lagi berisiko tinggi...cuma sekarang ni, kita sedang berbincang di dalam mesyuarat...di dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mungkin kita boleh kategorikan kawasan-kawasan di negara China.
"Sebab negara China ni luas...mungkin beberapa kawasan dia agak [zon] merah dan kawasan-kawasan lain tidak dianggap [zon] merah...kerana sudah hijau di China dan sebagainya.
"Tapi tu masih dalam perbincangan. Setakat hari ni, semua pelancong ataupun pekerja-pekerja yang bukan...pekerja-pekerja dari negara China dan sebagainya...yang bukan EP1...masih perlu mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Imigresen dan sebagainya.
"Jadi, apa yang dilakukan Sabah...sebenarnya, saya percaya ia dilakukan mereka sendiri dan tidak pun dibincangkan dengan pihak persekutuan, terutamanya Mesyuarat Khas Menteri-menteri...tidak pernah membincangkan perkara itu," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.
Rabu lalu, kerajaan negeri Sabah dilaporkan telah membuat keputusan untuk mengizinkan pekerja China memasuki negeri itu, walaupun akur pada semua peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKPP, termasuk harus menjalani pemeriksaan COVID-19 di lokasi asal mereka tiga hari sebelum mereka tiba di Sabah untuk memastikan mereka bebas daripada virus.
Ketika ditanya adakah pelajar antarabangsa kampus dibenarkan untuk menyertai solat Jumaat, Ismail Sabri berkata, tidak ada larangan dan mereka bebas untuk menyertai pelajar tempatan.
"Kalau yang lama sudah berada di kampus dan kita tahu tidak ada kluster baru di dalam kampus seluruh negara, jadi kita boleh benarkan.
"Tetapi, mereka hanya dibenarkan bersembahyang di masjid di dalam kampus tersebut," katanya, sambil menambah bahawa kebenaran yang sama diberikan untuk semua pelajar antarabangsa yang kembali ke kampus dari luar negara setelah mereka diuji negatif untuk COVID-19.
Kerajaan minggu lalu membenarkan solat Jumaat diadakan, bergantung pada keluasan kawasan masjid dan pematuhan SOP yang ketat, terutama protokol penjarakan sosial.
Ditanya adakah mereka yang berumur 60 tahun ke atas dilarang mengunjungi tempat awam dan pasar raya, Ismail Sabri berkata, walaupun tidak ada keputusan seperti itu, mereka tidak digalakkan untuk melakukannya kerana mereka adalah sebahagian daripada kumpulan berisiko tinggi (COVID-19).
"Tidak pernah ada larangan untuk warga emas umur 60 tahun pergi ke tempat awam, pasar raya. Kalau [begitu], saya pun tak boleh pergi ni..saya ni warga emas..umur 60.
"Yang kita tekankan adalah tidak digalakkan. Seperti juga kanak-kanak di dalam akta..di dalam peraturan...Akta 342...tidak mengatakan larangan kanak-kanak pergi ke tempat awam...larangan warga emas ke tempat awam.
"Yang kita katakan adalah..oleh kerana mereka ini berisiko tinggi..60 tahun ke atas iaitu warga emas dan juga kanak-kanak di bawah 12 tahun adalah berisiko tinggi.
"Jadi kita tidak menggalakkan dan kita nasihatkan ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam, pasar raya dan sebagainya...begitu juga membawa ibu bapa ataupun datuk, nenek mereka yang berumur...warga emas ini...jadi kita kata "dinasihatkan".
"Tetapi dari segi undang-undang, tidak ada larangan. Jadi mereka boleh pergi ke pasar raya dan mana-mana tempat awam yang lain..termasuk pergi kenduri...tidak kita halang mereka berdasarkan undang-undang. Kita cuma nasihatkan sahaja," jelasnya.