📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Selesema babi dikesan pada ternakan di Malaysia, tidak berisiko jangkiti manusia

foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesan sampel yang sero (jelas dan nyata) positif selesema babi (Swine Influenza) virus H1N1 (SIV H1N1) dan H1N1pdm09 pada babi komersil dan babi hutan menerusi program pemantauan kebangsaan.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu menyatakan penemuan survelan mendapati terdapat sampel yang sero positif kepada SIV H1N1, namun ternakan babi yang sero positif tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit dan tidak berisiko untuk menyebarkan jangkitan kepada manusia.

Katanya, keputusan ujian H1N1pdm09 pula adalah negatif ke atas semua sampel.

"Pada masa ini, industri babi di Malaysia mempunyai populasi sebanyak 1.74 ekor bernilai RM5 bilion yang diternak di 614 ladang komersil. Pada masa yang sama, terdapat lebih kurang 5,000 pekerja terbabit secara langsung di dalam industri ternakan babi," kata kenyataan itu.

SIV H1N1 adalah virus avian influenza yang telah beradaptasi dan bermutasi menjadi virus babi dan terdapat tiga strain H1N1 yang telah dikenal pasti iaitu SIV H1N1, H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1.

SIV H1N1 adalah virus influenza yang biasa dijumpai dalam babi dan sangat endemik dalam kalangan negara pengeluar babi di dunia seperti Amerika, Mexico, dan China.

Virus ini menyebabkan jangkitan pada babi dengan kadar morbiditi yang tinggi tetapi kematian yang rendah.

Virus ini juga sangat hos spesifik dan jarang menyebabkan jangkitan pada manusia.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui DVS dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah mengambil tindakan pencegahan penyakit rentas sempadan daripada memasuki ke dalam negara dengan melaksanakan pelbagai aktiviti.

Antaranya, DVS meneruskan larangan pengimportan babi dan produk babi daripada negara terjangkit dan berisiko dijangkiti.

Selain itu, kata kenyataan itu, aktiviti pencegahan di pintu masuk utama negara yang membabitkan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas babi dan produk babi dari negara-negara berisiko akan dijalankan MAQIS.

Turut dilaksanakan kempen kesedaran awam kepada penternak babi mengenai penyakit babi, dijalankan di semua negeri dan penternak diminta meningkatkan biosekuriti ladang melalui tindakan pencegahan seperti tidak melawat ladang babi yang terjangkit.

Latihan kesiapsiagaan yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan seperti simulasi bagi menguji keberkesanan pelan kontingensi DVS dalam menangani sesuatu wabak penyakit.

Survelan klinikal dan pensampelan terus dijalankan di semua ladang babi komersial dan babi hutan termasuk di pintu masuk negara yang mana sampel diambil akan diuji di makmal DVS.

"Jika terdapat sampel positif, ujian lanjut untuk menentukan strain H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1 akan dijalankan," kata kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, pihak kementerian akan bertindak sebagai penyelaras dengan pelbagai agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memperkemaskan aspek kawalan bersepadu bagi menghalang kemasukan/penularan penyakit.

Pada 2009, virus influenza swine subtip yang baharu, iaitu novel 2009 H1N1 Pandemic (H1N1pdm09 virus) dijumpai pada manusia di Mexico.

Virus H1N1pdm09 ini mempunyai kandungan genetik yang berbeza di mana strain ini sangat merbahaya iaitu bersifat zoonotik dan boleh menjadi pandemik.

Namun, strain H1N1pdm09 masih dianggap kurang berbahaya kerana boleh dikawal melalui pemberian vaksin 'seasonal flu' H1N1 pada manusia.

Virus G4 EA H1N1 yang baru dikenal pasti di China yang dilaporkan oleh beberapa akhbar adalah hasil mutasi strain H1N1pdm09 yang bersifat lebih patogenik dan berbahaya serta tidak boleh dicegah melalui vaksin sedia ada.