📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Malim Ghozali

Al-Sultan Abdullah juga berharap keluarga akan terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sasterawan Perak, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Malim Ghozali PK, yang meninggal dunia selepas menjalani pembedahan membuang tumor, pada usia 71 tahun semalam.

Sambil menyatakan simpati atas kehilangan mereka, Al-Sultan Abdullah juga berharap keluarga akan terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan.

"Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada dunia penulisan sastera Melayu negara amat dihargai dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar pada negara," menurut siaran di laman Instagram rasmi Istana Negara hari ini.

Mohamed Ghazali adalah penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada tahun 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2014.

Bukunya Tree of Sorrow disenaraikan antara 160 novel terbaik di dunia oleh International IMPAC Dublin Literary Awards.

Sebanyak 22 buku Mohamed Ghazali juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Allahyarham juga pernah memenangi Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dalam kategori Kumpulan Cerpen, pernah mendeklamasikan puisi pada pertemuan antarabangsa di Prague, Republik Czech, dan memberi syarahan di Hannibal, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.