BANDARAYA MELAKA: PKR sekali lagi menerima tamparan hebat selepas ahli PKR Melaka dijangka keluar parti beramai-ramai Sabtu ini.
Tular satu notis di media sosial yang mendedahkan bahawa akan ada majlis pengisytiharaan keluar PKR beramai ramai peringkat negeri Melaka pada Sabtu ini, 27 Jun, 10 pagi, bertempat di Taman Tasek Utama, MITC Ayer Keroh, Melaka.
Notis yang dilihat itu dikeluarkan oleh individu yang hanya dikenali sebagai 'Awi'.
G Rajendran, bekas naib presiden PKR negeri itu, ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut semalam. Walau bagaimanapun, beliau tidak akan ke majlis tersebut meskipun telah menerima jemputan.
"Ya, saya memang menerima jemputan untuk menghadiri pada 27 Jun ini.
“Sejak dua hari lalu saya menerima panggilan daripada beberapa orang untuk menghadiri majlis itu," katanya.
Notis yang dilihat Malaysiakini itu dikeluarkan oleh individu yang hanya dikenali sebagai 'Awi', yang didakwa sebagai setiausaha PKN, Melaka.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis ketika dihubungi enggan mengulas lebih lanjut berkenaan notis tersebut dan hanya meminta untuk menunggu pada hari berkenaan.
“Saya tak nak ulas banyak. Tunggu dan lihat saja,” jelasnya..
Untuk rekod, Jailani telah dipecat daripada parti pada 12 April lalu kerana telah menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan menghadiri perjumpaan bersama gabungan parti tersebut.
ADUN Machap Jaya, Ginie Lim pula tidak mahu memberikan sebarang komen setelah dihubungi.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula memberitahu bahawa pihaknya tidak tahu mengenai perkara tersebut.
“Saya tak tahu berkenaan perkara tersebut dan tak pasti kesahihan (notis) itu,” katanya.