![]() |
Dato' Seri Amirudin Shari & Dr Daroyah Alwi. |
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari malam tadi mencabar Dr Daroyah Alwi untuk mengosongkan kerusi DUNnya setelah ADUN Sementa itu keluar parti, "jika beliau mempunyai maruah".
Amirudin, yang juga ketua PKR Selangor, membantah keputusan bekas sekutunya itu untuk keluar parti.
"Ini adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya ke-14," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kedudukan Daroyah sebagai timbalan speaker Selangor akan diuruskan oleh speaker.
Daroyah meninggalkan PKR semalam, dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ADUN dua penggal Sementa dan bekas anggota exco negeri itu, secara efektif melepaskan semua jawatan parti berikutan peletakan jawatannya. Beliau juga melepaskan jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR dan Ketua Wanita PKR Selangor.
Beliau berkata bahawa beliau akan kekal sebagai ADUN bebas buat masa ini.
Daroyah berkata, Anwar dan penyokongnya gagal menunaikan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka oleh majoriti anggota parti yang memilih mereka.
Beliau juga mengatakan tugas wanita tidak lagi dihargai walaupun mereka telah menjadi jentera utama dalam menggerakkan PKR, sambil menambah bahawa demokrasi tidak lagi ada di dalam parti itu.
Daroyah juga meletak jawatan sebagai ketua PKR bahagian Kapar dan membawa 48 lagi pemimpin wanita, ahli majlis dan ketua bahagian PKR Selangor yang lain keluar parti.