PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan 10 kes positif baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,616, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada 10 kes baru, empat kes adalah kes import sementara enam yang lain adalah kes penularan tempatan.
"Empat kes import melibatkan seorang warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja. Daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman web beliau.
Empat kes baru dilaporkan di Kuala Lumpur, Selangor (3), Negeri Sembilan (1) dan Sabah (2) dan kes import melibatkan seorang rakyat Malaysia yang pulang dari Kemboja sementara kes import selebihnya adalah orang asing yang masuk ke Malaysia dari Korea Selatan, Turki dan Indonesia.
Sementara itu, 14 pesakit pulih dan discaj hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh 8,308, atau 96.43 peratus.
Dr Noor Hisham menambah bahawa masih ada 187 kes aktif di negara ini, dan dua pesakit kini menerima rawatan di unit rawatan rapi serta tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 121 orang.