📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Covid-19: 3 kes baru di Sarawak


KUCHING: Sarawak mencatatkan tiga kes baharu positif Covid-19 di Bintulu pada Ahad. Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini adalah 569 kes.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes ke-567 dan 568 ini adalah daripada kluster Kidurong, yang merupakan ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes ke-566 iaitu isteri dan anak kepada kes tersebut. 

“Ini menjadikan jumlah kes kluster Kidurong setakat hari ini adalah seramai lapan orang,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, kes ke-569 merupakan seorang lelaki berumur 29 tahun mempunyai sejarah bekerja di Mexico sejak Februari 2020. 

"Pada 9 Jun 2020, kes telah balik ke Malaysia menggunakan penerbangan dari Mexico ke Jepun seterusnya tiba di Malaysia pada 10 Jun 2020.

"Ujian Rapit Test Kit (RTK) antigen yang diambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah negatif dan kes dikuarantin di Tune Hotel.

"Pada 14 Jun, kes telah tiba ke Bintulu dan dihantar ke hotel Parkcity Everly untuk menyambung kuarantin.

"Bagaimanapun, pada 20 Jun, sampel diambil dan didapati positif melalui ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tiada kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari hospital hari ini, menjadikan kes sembuh dan discaj kekal sebanyak 535 orang atau 94.02% daripada jumlah keseluruhan kes. 

Sebanyak 17 orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital. Jumlah kematian di negeri itu kekal sebanyak 17 orang.