PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes pulih 2 angka selepas 3 hari berturut-turut kes pulih baharu 3 angka. Sebanyak 70 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 8,070.
Oleh itu, kadar pemulihan melebihi 90 peratus atau pada 94.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru yang dicatatkan sepanjang 24 jam lalu adalah hanya sebanyak 6 kes. Ini menjadikan kes positif COVID-19 di negara kini adalah sebanyak 8,535 kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 344 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media harian dekat sini.
Beliau juga berkata, daripada 6 kes baru yang dilaporkan, dua kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara.
“Daripada empat kes penularan di dalam negara, kesemua mereka adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya
Dr Noor Hisham turut mengumumkan tidak ada kes kematian yang dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal pada 121 orang atau 1.4 peratus daripada jumlah kes.
Katanya, sehingga kini, sebanyak tiga (3) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.