MADRID: Harapan Barcelona untuk memenangi kejuaraan menerima tamparan yang hebat kelmarin apabila mereka diikat 2-2 oleh Celta Vigo, seterusnya memberi peluang kepada Read Madrid untuk mendahului dengan kelebihan dua mata di tempat teratas La Liga.
Luis Suarez meletakkan pasukannya di depan dua kali di Balaidos dengan jaringan pertamanya sejak Januari lalu tetapi Iago Aspas merembat masuk tendangan percuma lewat untuk memberikan keputusan seri kepada Celta, pada waktu yang mungkin ternyata amat penting dalam perebutan kejuaraan.
Barca berdepan dengan ujian yang jauh lebih getir pada Rabu ini dalam perlawanan menentang Atletico Madrid, yang menangkis kebangkitan lewat oleh Alaves untuk menang 2-1 di Wanda Metropolitano.
Atletico menduduki tempat ketiga, sekarang empat mata di depan Sevilla.
Sebelum itu, Real Madrid bimbingan Zinedine Zidane pasti mahu mengambil langkah yang besar ke arah kejuaraan dengan memenangi perlawanan di kelab tercorot Espanyol semalam.
Madrid memiliki rekod yang lebih baik berbanding Barcelona dan memenangi keempat-empat perlawanan sejak La Liga bersambung semula awal bulan ini.
Dengan jadual yang lebih mudah berbanding kelab Catalan itu, piala nampak seperti sudah dimiliki Madrid.
“Perasaan kita adalah negatif,” kata Suarez kemudian.
“Jika kami mahu kekal dalam perebutan kejuaraan dan menjulang piala, kami perlu memenangi semua perlawanan kami. Tetapi kami sekarang perlu bergantung kepada Madrid untuk melepaskan mata.”
Suarez mempamerkan permainan terbaiknya sejak dia menjalani pembedahan lutut pada Januari lalu, jaringan pertamanya dihasilkan dari tendangan percuma yang mengejutkan dari Lionel Messi, yang melakukan tendangan lintang sedangkan orang menjangka dia akan melakukan rembatan.
Namun kerapuhan pertahanan Bacelona sekali lagi mengecewakan mereka dan Celta sepatutnya dapat memenanginya dalam masa kecederaan tetapim Nolito mensia-siakan peluang keemasan di tiang belakang.
Celta naik ke tempat ke-16, lapan mata di atas kelompok tiga pasukan tercorot.
Atletico bertahan untuk menewaskan Alaves apabila Joselu memberi harapan kepada pasukan pelawat dengan menyempurnakan tendangan penalti dalam masa kecederaan selepas tandukan Saul Niguez dan tendangan penalti Diego Costa memberi penguasaan kepada pasukan Diego Simeone.
Kemenangan bermakna Atletico sudah mengutip 13 daripada maksimum 15 mata sejak liga bersambung dan menjelang lawatan mereka ke Camp Nou esok (Selasa). — AFP