📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Kedudukan Shafie belum lagi diputuskan PH, kata Amanah dan DAP


KUALA LUMPUR: Amanah dan DAP belum lagi membincangkan cadangan mencalonkan presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri Pakatan Harapan Plus, kata presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama.

"Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai suatu opsyen baharu untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14," kata mereka.

Cadangan mencalonkan Shafie Apdal sebagai calon PM PH Plus diumumkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad awal hari ini. Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tidak rasmi yang diadakan dengan Mohamad, Lim, Shafie, bekas timbalan presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan lain-lain.

Manakala, presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan wakil PKR tidak hadir pada mesyuarat itu.

Mahathir kemudian berkata bahawa mesyuarat itu juga telah bersetuju untuk mencalonkan Anwar sebagai timbalan perdana menteri I dan Mukhriz untuk menjadi timbalan perdana menteri II.