KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menggunakan surau sebagai tempat umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi catatan laman sosial Twitternya, pada Rabu.
Menurut Dr Zulkifli, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas kali Ke-7 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
“Muzakarah yang dihadiri oleh semua Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan Ahli-Ahli yang dilantik Majlis Raja-Raja membincangkan berkenaan cadangan kebenaran bagi surau untuk mendirikan solat Jumaat.
“Mengambil kira realiti Malaysia yang mempunyai bilangan surau yang banyak, usul tersebut diutamakan untuk dibawa bagi diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Usaha ini diusulkan bagi membolehkan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dalam tempoh ini,” menurut catatan itu.
Terima kasih atas buah fikiran. Pagi ini para Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan Ahli-Ahli Yg Dilantik Majlis Raja-Raja sedang berbincang berhubung kebenaran bagi surau biasa utk menunaikan solat Jumaat. https://t.co/QXXesri1T8 https://t.co/J43BEsmZii
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (@drzul_albakri) June 24, 2020
Sementara itu, Zulkifli berkata kerajaan amat prihatin akan kegusaran umat Islam yang ingin kembali menunaikan solat Jumaat dalam tempoh ini.
“Semoga usul ini dapat dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri dengan sebaiknya," jelasnya lagi.