LONDON: Pep Guardiola kelmarin mengesahkan pasukan Manchester City akan memberikan barisan kehormat kepada juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool apabila mereka bertemu pada minggu depan.
Kejuaraan EPL pertama Liverpool dalam tempoh 30 tahun disahkan dua hari lalu selepas City di tempat kedua tewas 2-1 di Chelsea.
Dua pasukan teratas itu akan berentap di Stadium Etihad pada Khamis ini dan Guardiola, yang menyaksikan pasukannya memenangi dua kejuaran EPL sebelum ini, berkata Liverpool sewajarnya diberikan barisan kehormat tradisional.
“Sudah tentulah kami akan melakukannya,” kata Guardiola. “Sudah tentulah kami akan melakukan barisan kehormat.
“Kami sentiasa menerima Liverpool dengan cara yang luar biasa apabila mereka datang ke rumah kami. Mereka tidak dapat merungut dan sudah tentulah kami akan melakukannya kerana mereka berhak mendapatkannya.”
Pengurus dari Sepanyol itu menolak sebarang kenyataan bahawa pasukannya tidak lapar atau bermotivasi pada musim ini, walaupun Liverpool memenangi kejuaraan liga ke-19 mereka dengan rekod baki tujuh perlawanan lagi.
“Pasukan yang memenangi lapan kejuaraan (piala) sejak tiga tahun lalu mempunyai keghairahan, dalam setiap perlawanan, dalam setiap pertandingan, di mana sahaja. Tidak ada orang di negara ini yang dapat berkata begitu,” tambah Guardiola.” — AFP