📣 Beralih ke pengalaman baharu laman web SUARA KINI. Klik di sini

Noh Omar letak jawatan Pengerusi MISC

MISC dalam satu kenyataan hari ini mengatakan Noh membuat keputusan untuk meletak jawatannya setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Pengerusi MISC Berhad, Tan Sri Noh Omar meletak jawatan, berkuat kuasa semalam.

Peletakan jawatannya setelah 2 minggu dilantik ke jawatan tersebut.

MISC dalam satu kenyataan hari ini mengatakan Noh membuat keputusan untuk meletak jawatannya setelah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Beliau menzahirkan harapan terbaik buat lembaga pengarah MISC dan pengurusannya dalam menerajui syarikat ke tahap yang lebih tinggi.

"Begitu juga, lembaga pengarah MISC mengucapkan terima kasih kepadanya dan menzahirkan yang terbaik buat Noh," kata kenyataan itu.

Noh, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang, dilantik sebagai pengerusi MISC pada 1 Jun, menggantikan Datuk Ab Halim Mohyiddin.

Noh sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari tahun 2008 hingga 2009.

Beliau kemudian menjadi menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari tahun 2009 hingga 2013.

Dari tahun 2014 hingga 2016, beliau pernah berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor sebelum kembali ke kabinet Persekutuan sebagai menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 hingga 2018.