![]() |
Keadaan pagar rumah mangsa yang di simbah cat merah. Turut ditinggalkan di sana adalah sekeping kotak yang mengandungi ayat ugutan. - foto Utusan Borneo |
SIBU, SARAWAK: Seorang pegawai Imigresen menerima nota ugutan dan pagar rumahnya disimbah cat merah oleh dua lelaki tidak dikenali, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Collin Babat berkata, kejadian itu berlaku di rumah pegawai itu yang berusia 34 tahun di Sibu Jaya kira-kira jam 3.40 petang ketika beliau sedang bekerja.
"Setelah menerima panggilan telefon dari isterinya pada jam 3.45 petang, mangsa bergegas pulang dan mendapati pagar rumah mereka telah disimbah dengan cat merah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa mangsa juga menjumpai nota tulisan tangan pada sekeping kotak kertas coklat yang mengandungi ayat ugutan — "KAMU YANG PUKUL SAYA DI KANTOR!! AWAS KALIAN DAN KELUARGA KALIAN!!!"
Mangsa, yang bekerja di bahagian Perisikan/Operasi dan Pemeriksaan Pendatang Tanpa Izin di Jabatan Imigresen, di sini, membuat laporan di Balai Polis Sibu Jaya, pada jam 6.27 petang.
Collin berkata, anak perempuan pengadu yang berusia 12 tahun berada di dalam rumah dan melihat perbuatan kedua-dua lelaki itu melalui tingkap tetapi tidak dapat melihat wajah mereka kerana mereka memakai topi keledar motosikal.
"Kejadian itu berlaku terlalu cepat dan dia tidak dapat melihat nombor pendaftaran motosikal itu," tambahnya.
Pengadu membuat spekulasi bahawa suspek ialah warganegara Indonesia yang pernah ditangkap oleh Jabatan Imigresen Sibu dalam operasi pada bulan Februari tahun ini di mana pengadu merupakan salah seorang pegawai operasi tersebut.
Sementara itu, Collin menambah bahawa kejadian serupa telah berlaku kepada rakan pengadu di mana keretanya disimbah cat merah pada hari Rabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun yang sama kerana menyebabkan kerosakan, katanya.