KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun masih menunggu laporan siasatan daripada pihak PDRM berhubung kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia selepas cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sehingga kini, proses siasatan lanjut masih berjalan.
"Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.
"Justeru, pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes berkenaan sebelum Peguam Negara mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan.
"Untuk kes jenayah, kita tidak memberikan tempoh tertentu untuk mendapatkan hasil laporan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini.
Sebelum ini, bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berharap agar kematian anaknya mendapat pembelaan sewajarnya. Beliau juga ingin pelaku yang membunuh anaknya ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan.