MIRI: Pemimpin PKR Sarawak berasa terkejut dengan laporan berita yang mendakwa bahawa presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berusaha untuk berjumpa Ketua Menteri Sarawak untuk mendapatkan sokongan parti pemerintah Sarawak untuk jawatan perdana menteri.
Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng yang merupakan naib presiden kebangsaan PKR, berkata bahawa beliau tidak pernah diberitahu mengenai lawatan terbaru oleh Anwar ke negeri ini.
"Saya hanya lihat berita di Facebook.
"Adakah ia tepat? Saya tidak diberitahu bahawa Anwar akan datang ke Sarawak, bahawa beliau berusaha menemui Ketua Menteri.
"Tidak ada sesiapa yang meminta saya pergi menyambutnya di Kuching. Adakah beliau benar-benar datang?," katanya ketika dihubungi.
Ketua penerangan PKR Sarawak, Abun Sui juga berkata beliau terkejut ketika dimaklumkan mengenai laporan itu.
"Saya tidak tahu sama ada berita itu betul atau tidak," katanya.
Sui juga berkata tidak ada rancangan untuk lawatan terbaru Anwar ke Sarawak. Portal berita itu mendakwa bahawa Anwar telah berusaha menemui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Openg untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen dari gabungan kerajaan negeri Sarawak di Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Laporan itu mendakwa bahawa Anwar memerlukan sokongan mereka untuk mendapatkan ahli Parlimen untuk membolehkannya mengambil alih jawatan PM.