LANGKAWI: Pakatan Harapan (PH) nampaknya tidak berminat untuk mengambil alih kerajaan ketika masih gagal membuat keputusan mengenai calon perdana menteri.
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sedemikian berikutan keputusan PKR untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, namun tidak dipersetujui anggota PH yang lain, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, yang menginginkan Dr Mahathir.
"Terserah kepada mereka, kita tidak akan memaksa mereka jika mereka tidak setuju. Tetapi kita juga tidak setuju dengan dia (Anwar).
"Jadi, itulah situasi sekarang, dibiarkan tergantung, tidak ada keputusan.
"Ini menunjukkan bahawa kita tidak benar-benar berminat untuk mengalahkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin)," katanya.
Dr Mahathir, yang juga ahli parlimen Langkawi itu, ditemui selepas menghadiri program sembang santai dengan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Langkawi di sini pada Sabtu malam.
DAP dan Amanah telah mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dengan alasan bahawa Anwar tidak berjaya mendapat sokongan yang cukup.