CHINI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Fuziah Salleh, meminta pengundi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini supaya bijak memilih calon yang tidak gentar bersuara.
Fuziah, yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, walaupun pengundi bebas mengundi mana-mana calon namun pilihan yang benar membolehkan hak dan kebajikan mereka diberi perhatian.
"Adalah menjadi hak pengundi untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan boleh mewakili mereka, termasuk ahli dan penyokong PH yang pasti tidak mahu beri kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN).
"Pengundi di DUN Chini ialah pemegang taruh yang penting. Mereka wajib menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat demi memastikan hak dan keperluan mereka terjamin," katanya di sini, pada Ahad.
Beliau juga mengingatkan pengundi dan calon PRK Chini selain petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak kewujudan kluster baru Covid-19.
"Jaga pematuhan SOP dengan ketat dan sama-sama kita menjaga keselamatan diri masing-masing," katanya.