KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan kepada anak bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim berkata, Ahmad Saiful Islam gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Sekiranya tertuduh mengaku bersalah sebelumnya, hukumannya akan lebih ringan," katanya.
Beliau juga memerintahkan Saiful menjalani hukuman penjara mulai hari ini, menolak permohonan peguamnya Nasar Khan untuk penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.
Saiful ditangkap polis pada Januari tahun lalu kerana didapati positif ganja di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini.